• Glami Lemi Biotechnology Research Centre
  • glamilemi@um.edu.my
  • 06-6113350
logo
logo

PENTERNAKAN RUMINAN MODEN

Sebagai sebuah negara membangun yang menuju ke arah menjadi sebuah negara yang maju, bidang pertanian dan penternakan adalah satu aspek yang sangat penting bagi menjamin bekalan dan keselamatan makanan. Kebergantungan negara terhadap bekalan import makanan berasaskan pertanian akan meletakkan negara dalam risiko permainan harga dan bekalan oleh negara pengeksport, lantas boleh menjejaskan ekonomi negara. Bercakap mengenai bidang penternakan haiwan, ianya adalah satu bidang penyelidikan yang sangat luas meliputi dalam pelbagai aspek seperti nutrisi, reproduktif, penyakit, genetik, pengurusan ternakan dan pelbagai lagi yang boleh mempengaruhi produktiviti dan kondisi ternakan, dimana permasalahan yang berlaku boleh menjejaskan ekonomi para penternak dan bekalan makanan negara. Ternakan seperti ayam pedaging adalah salah satu ternakan yang mempunyai daya kecukupan kendiri yang tinggi, dimana pengeluarannya adalah cukup untuk menampung keseluruhan penduduk di negara ini. Namun begitu, ternakan seperti ruminanl iaitu seperti lembu dan kerbau serta ruminan kecil seperti kambing dan bebiri masih lagi mempunyai populasi yang kecil untuk menampung permintaan daripada rakyat Malaysia yang tinggi. Berdasarkan perangkaan bilangan ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar tahun 2020, bilangan populasi ternakan kambing dan bebiri menunjukkan penurunan daripada tahun 2019. Justeru, kajian perlu dilakukan bagi mencari solusi yang terbaik bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam penternakan ruminan kecil samada daripada segi sistem pengurusan ternakan, kesihatan, reproduktif dan nutrisi sesuai dengan keadaan di negara ini.

FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI KESUBURAN TERNAKAN

Produktiviti ladang ternakan banyak dipengaruhi dengan tahap kesuburan ternakan itu sendiri samada jantan mahupun pada betina. Banyak faktor boleh memberi kesan terhadap kesuburan ternakan seperti faktor nutrisi, alam sekitar, baka, pengurusan ternakan dan penyakit. Pemberian makanan yang tidak memenuhi keperluan harian ternakan akan menyebabkan pertumbuhan dan kemampuan reproduksi ternakan terganggu, kerana nutrien daripada diet digunakan sepenuhnya untuk fungsi badan yang utama seperti sistem pencernaan. Sementara itu, alam sekitar juga banyak memberikan impak kepada kesuburan ternakan. Kajian telah menunjukkan suhu alam sekitar yang panas boleh menyebabkan ternakan mengalami stres haba dan menjejaskan kemampuan reproduksi dalam ternakan. Selain itu, baka juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan kesuburan ternakan terjamin. Kebiasaannya, baka ternakan lembu, kambing dan bebiri muncul di kawasan-kawasan tertentu sahaja seperti bebiri yang banyak dijumpai di tempat yang beriklim tropikal tidak akan dijumpai secara liar di kawasan yang bersuhu sejuk. Justeru, kemasukan baka yang tidak sesuai dengan iklim setempat akan menjejaskan produktiviti ternakan tersebut. Pengurusan ternakan melibatkan cara pemeliharaan seperti intensif, semi-intensif dan lepas bebas. Kawalan yang menyeluruh kepada ternakan dapat dicapai dengan pengurusan secara intensif, lantas dapat menjamin produktiviti ternakan yang optimum. Walau bagaimanapun, pengurusan ternakan secara lepas bebas akan mendedahkan ternakan kepada pelbagai risiko seperti penyakit, masalah cacing dan alam sekitar. Risiko-risiko ini secara tidak langsung akan menjejaskan kesuburan ternakan

Penggunaan teknologi-teknologi pembiakan berbantu atau Assisted Reproductive Technologies (ARTs) dalam penternakan haiwan merupakan salah satu cara yang boleh diaplikasi oleh para penternak bagi meningkatkan produktiviti ternakan di ladang. Namun begitu, bukan semua teknologi ARTs ini boleh diaplikasi oleh para penternak terutama penternak secara kecil-kecilan kerana teknologi-teknologi ini melibatkan kos dan kemahiran yang tinggi. Penyelidikan yang berterusan dalam bidang ini mampu mencari alternatif yang lebih cekap dan murah untuk diaplikasikan oleh komuniti.

TEKNOLOGI-TEKNOLOGI PEMBIAKAN BERBANTU PENTERNAKAN

Teknologi-teknologi pembiakan berbantu atau Assisted Reproductive Technologies (ARTs) meliputi teknik-teknik dan teknologi-teknologi yang moden yang dapat digunakan dalam bidang penternakan bagi meningkatkan dan membantu kesuburan dan produktiviti haiwan. Antara ARTs yang sering digunakan adalah seperti permanian beradas atau artificial insemination (AI), krioawetan sperma, teknik pengumpulan sperma, permindahan embrio, krioawetan embrio, somatic cell nuclear transfer (SCNT), in vitro fertilization (IVF) dan banyak lagi.

Permanian beradas (AI) merupakan salah teknologi yang telah diaplikasi secara meluas di Malaysia samada melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mahupun persendirian. Penggunaan teknologi seperti ini mampu meningkatkan produktiviti, kualiti ternakan dan kos operasi dengan permindahan genetik-genetik yang berkualiti tinggi melalui sejukbeku sperma. Penggunaan teknologi ini juga dapat mengurangkan kos para penternak dalam mengurangkan bilangan pejantan dalam ladang, lantas mengurangkan kos operasi ladang ternakan. Walau bagaimanapun, teknik seperti ini memerlukan kemahiran yang tinggi dan bekalan sperma yang berkualiti untuk mendapatkan  kadar kejayaan yang tinggi. Penggunaan AI lebih banyak digunakan dalam ternakan seperti lembu kerana peratusan kejayaan yang lebih tinggi berbanding dalam ruminan kecil seperti kambing dan bebiri. Ini ditunjukkan melalui perangkaan daripada JPV dimana aktiviti permanian beradas meningkat setiap tahun sehingga tahun 2018, dimana pada tahun 2019 menunjukkan sedikit penurunan dalam ternakan lembu. Sektor yang sering menggunakan teknologi adalah sektor lembu tenusu, dimana proses bunting lembu tidak lagi menggunakan pengawanan semula jadi tetapi menggunakan permanian beradas untuk mengurangkan kos pembelian dan penjagaan ternakan jantan yang tinggi.

Pengumpulan sperma/semen biasanya menggunakan alatan seperti vagina tiruan atau artificial vagina (AV) pada ternakan jantan. Saiz AV adalah bergantung pada jenis ternakan dimana ternakan seperti lembu mempunyai saiz AV yang lebih besar berbanding AV pada ruminan kecil. Selain daripada AV, terdapat juga cara yang lain untuk mengumpul semen pada ternakan seperti penggunaan electro-ejaculator (EE). Namun begitu, penggunaan EE adalah kurang efisien dan memudaratkan kepada haiwan. Hal ini kerana semen yang dikumpul dengan menggunakan cara EE kebiasaannya akan bercampur dengan air kencing ternakan. Campuran air dalam semen ternakan boleh menyebabkan kematian sperma dan pengurangan kualiti sperma dari sudut motilitinya. Justeru, teknik AV adalah teknik yang paling efisien digunakan dalam pengumpulan semen ternakan ruminan kerana teknik ini menyamai teknik pengawanan semula jadi dan tiada paksaan kepada haiwan.

Selain itu, krioawetan sperma (sperm cryopreservation) juga merupakan satu teknik dan teknologi yang penting bagi membolehkan penyimpanan sumber genetik yang berkualiti dapat disimpan dalam keadaan yang baik dan tempoh yang lama. Permindahan sumber genetik ini juga boleh dilakukan dengan lebih mudah, tanpa perlu memindahkan haiwan secara fizikal. Walau bagaimanapun, krioawetan sperma ini memerlukan penggunaan nitrogen cecair dan pemanjang (extender) bagi memastikan sperma mendapat nutrien dan perlindungan yang diperlukan bagi mengurangkan kematian sperma. Pemanjang sperma adalah medium yang mengandungi beberapa bahan kimia yang digunakan untuk mencairkan semen yang pekat, menyediakan nutrien dan perlindungan kepada tekanan suhu yang terlampau sejuk. Penyimpanan sperma didalan tangki cecair nitrogen adalah pada suhu -196℃, dimana pada suhu ini sperma akan mengalami kejutan sejuk dan pembentukan ais kristal dalam medium pemanjang. Namun, dengan formulasi dan kandungan tertentu dalam pemanjang semen, tekanan ini dapat dikurangkan, lantas memberikan perlindungan yang berterusan kepada sperma. Tambahan lagi, untuk memastikan kadar kematian sperma adalah minimum semasa proses sejukbeku, protokol sejukbeku yang spesifik perlu digunakan yang melibatkan beberapa fasa sejukbeku seperti fasa keseimbangan suhu (4℃), vitrifikasi (-120℃,) dan krioawetan (-196℃).

Pengimejan ultrabunyi (Ultrasound) juga merupakan salah satu teknologi moden yang semakin banyak diapikasikan dalam penternakan ruminan yang moden. Pengimejan ini mampu memberikan gambaran awal mengenai keadaan fetus ternakan, seterusnya dapat menyediakan penternakan akan pengurusan sebelum dan selepas kelahiran anak. Sebagai contoh nutrisi bagi ibu ternakan yang bunting boleh ditentukan dengan melihat jumlah anak dalam kandungan dan nutrisi perlu dipertingkatkan selari dengan jumlah anak tersebut. Selain itu, pengesanan awal kebuntingan melalui ultrabunyi dapat dilihat seawal umur sebulan fetus dengan alat trans-rektal ultrabunyi. Dengan adanya peralatan ini, penternak dapat merancang pembiakan dengan lebih sistematik dan dapat menjimatkan kos kerana ibu yang tidak bunting/kehamilan palsu (pseudopregnancy) dapat dikesan dengan awal dan proses pembiakan dapat dimulakan dengan lebih awal. Penjagaan ternakan yang bunting seperti pengasingan kawanan kepada petak individu, penambahan nutritisi dan injeksi suplemen kepada ibu bunting dapat dilaksanakan.

PROSPEK MASA HADAPAN PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM TERNAKAN

Penambahan populasi manusia yang mendadak memerlukan sumber protein yang besar daripada sumber yang pelbagai. Sememangnya penternakan menjadi sumber protein yang utama, namun ratio kecukupan kendiri (self-sufficiency ratio (SSR)) bagi setiap jenis ternakan adalah berbeza. Ayam dan babi menunjukkan SSR yang mencukupi untuk menampung permintaan rakyat Malaysia, namun sumber daging daripada haiwan ruminan masih bergantung pada jumlah import luar. Hal ini disebabkan pelbagai faktor seperti kekurangan pendedahan terhadap pengurusan ternakan yang produktif, kurangnya tenaga mahir dalam bidang ternakan ruminan, sumber genetik ternakan yang kurang baik, dan kos yang tinggi. Justeru, penggunaan teknologi seperti ARTs perlu diterapkan dan diaplikasi bukan sahaja oleh agensi-agensi yang berkaitan, tetapi juga oleh para penternak. Latihan-latihan perlu diperbanyakkan oleh institusi yang berkemahiran kepada penternak-penternak bagi melahirkan lebih ramai modal insan yang berkemahiran tinggi dalam bidang ini.

Mohd Shahmi Hakimi Mazlishah

Pegawai Penyelidik

Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi Universiti Malaya

Last Update: 21/04/2022